KOMEN: Aizat merupakan penyanyi baru yang berbakat dan berani tampil dengan lagu-lagu ciptaannya sendiri.
Album sulung ini memperdengarkan lagu-lagu ciptaannya sendiri seperti Lagu Kita, Selamat Tinggal Akhirnya dan Cintai Diriku.
Bintang Akademi Fantasia ini membuktikan bukan semua peserta program televisyen (TV) realiti itu hanya bergantung atas populariti semata-mata.
Sebaliknya, Aizat mempunyai mutu dan nada suara yang tersendiri. Kelembutan suaranya terserlah, misalnya melalui lagu Sahabat.
Banyak lagu menarik dalam album ini di mana secara keseluruhannya ia berkonsepkan muzik pop, ballad dan rock.
Malah, kali pertama saya mendengar lagu seperti Hanya Kau Yang Mampu, saya dapat merasakan kekuatan melodi lagu itu yang mudah dihayati.
Kalaulah lagu itu lebih kerap kali disiarkan menerusi radio atau TV, saya yakin ia mampu menjadi sebuah lagu yang popular.
Kreativiti yang ditonjolkan menerusi kulit album ini juga menarik biarpun ia hanya berlatarbelakangkan lokasi di sekitar Jalan Sultan Ismail, Kuala Lumpur.
Cuma saya sedikit ralat apabila Aizat seakan-akan lebih cenderung kepada gaya dan lenggok nyanyian seperti penyanyi-penyanyi dari Indonesia.
Paling ketara menerusi lirik lagu Hanya Kau Yang Mampu apabila terdapat perkataan Indonesia seperti kapan yang sepatutnya boleh digantikan dengan perkataan bila.
Sepatutnya, menerusi percubaan pertama seperti inilah Aizat memperlihatkan keasliannya semaksima yang boleh.
Apa pun, inisiatif anak didik penyanyi Hattan ini dalam menghasilkan lagu, lirik serta album sendiri patut diberi perhatian dan diteruskan pada masa depan.