Isteri akui sudah hampir lapan bulan tidak tinggal serumah dengan pelakon dan penyanyi popularBELUM pun reda kemelut rumah tangga yang melanda pasangan artis popular, Norman Hakim dan Abby Abadi, terbaru yang dapat Zubir teropong, kononnya sepasang lagi teman artis, Radhi OAG bersama isterinya, Shazlin Sharif, bekas anggota GIM, sudah tidak sehaluan apabila perkahwinan dibina hampir empat tahun lalu, bagai retak menanti belah, lafaz cerai hanya menanti untuk diterjemahkan saja. Zubir dengar cerita, Radhi yang bakal muncul dengan filem pertamanya, Antoo Fighter: Amukan Drakulat pada 27 November ini, sudah hampir lapan bulan tidak tinggal sebumbung dengan Shazlin. Adakah gara-gara pembabitan orang ketiga sekali lagi, hanya Radhi mahupun Shazlin ada jawapannya. Difahamkan, sekitar Ramadan lalu, Radhi pernah mengadu dengan beberapa teman rapatnya, fikirannya kini runsing kerana berdepan dengan masalah rumah tangga. Namun, sikap gila-gila Radhi dan sering membuat jenaka, membuatkan luahan hatinya tidak dipandang serius oleh rakan sekelilingnya kerana beranggapan mungkin dia sekadar bergurau. Pernah suatu ketika, ada rakan memberitahu Zubir, ketika Radhi hadir untuk salah satu sesi tayangan perdana Antoo Fighter: Amukan Drakulat, dia hanya membawa anak lelakinya, Muhd Rifdhi Muslim yang kini berusia tiga setengah tahun, namun kelibat Shazlin tidak pula kelihatan bersamanya. Terbaru yang singgah ke telinga Zubir, rupa-rupanya ketika Radhi dan Shazlin menyertai program realiti TV, Sehati Berdansa musim pertama tahun lalu, rumah tangga mereka sudah pun berdepan dengan masalah, bergelora, tapi disebabkan komitmen dan tidak mahu peminat menyangka yang bukan-bukan, terpaksalah mereka telan keperitan itu walaupun hakikatnya pasangan berkenaan tidaklah bahagia seperti yang disangka. Ada sumber yang rapat dengan pasangan itu, memberitahu Zubir, Radhi pernah melafazkan kata cerai terhadap Shazlin, tapi sehingga hari ini belum ada sebarang pengesahan cerai dari mahkamah syariah. Sumber sama menambah, khabarnya sudah dua kali Radhi gagal hadir ke mahkamah syariah untuk pengesahan cerai mereka. Justeru, sehingga hari ini tidak dapat dipastikan sama ada perceraian Radhi, Shazlin sah atau sebaliknya, namun yang pasti, pasangan berkenaan sudah tidak mampu untuk tinggal bersama lagi apabila ketika ini masing-masing membuat haluan sendiri sementara menunggu kes mereka dibicarakan di mahkamah. Menerusi pertolongan seorang teman, Zubir dimaklumkan Shazlin kini menetap bersama anaknya di rumah orang tuanya di Petaling Jaya, Selangor dan pada masa sama, Shazlin sudah pun bertugas di sebuah firma guaman berdekatan rumah ibu bapanya. Atas bantuan rakan tadi juga, Zubir berjaya menghubungi Shazlin untuk mendapat kesahihan cerita terbaru mengenai rumah tangganya yang sedang bergelora itu. “Sebenar berat mulut Lyn (Shazlin) nak bercerita perihal rumah tangga Lyn pada Abang Zubir. Seboleh-bolehnya Lyn tak mahu membuka pekong di dada, ibarat meludah ke langit terkena muka sendiri. Tapi, memandangkan banyak sangat maklumat Abang Zubir dah tahu, Lyn rasa serba salah untuk terus berselindung. “Begini sajalah Abang Zubir, apa yang boleh Lyn jelaskan di sini, memang benar Lyn dan Radhi tidak tinggal serumah lagi sejak awal Mac lalu. Lyn sendiri tak pasti sama ada Lyn sudah diceraikan atau sebaliknya kerana belum ada sebarang pengesahan dari mahkamah. Alhamdulillah, Lyn masih ada ibu bapa dan keluarga yang terus memberi sokongan,” kata Shazlin dalam nada kurang ceria pada suatu petang. Zubir dapat tahu, selepas Shazlin keluar rumah, Radhi masih menetap di rumah sewanya di Kota Damansara, Selangor dan jika ada masa terluang, dia akan mengambil Muhd Rifdhi tinggal bersamanya. Zubir yang sudah agak lama mengenali pasangan Radhi dan Shazlin berharap mereka dapat menyelamatkan rumah tangga kerana angin bertiup kencang ke telinga, khabarnya tidak ada pembabitan orang ketiga dalam kemelut rumah tangga mereka. Mudah-mudahan perkahwinan mereka masih mampu bertahan lebih lama, insya-Allah.