BERGELAR juara Raja Lawak Astro musim kedua, Nabil atau nama sebenarnya Ahmad Nabil Ahmad, 25, kini semakin laris di pasaran dunia hiburan.
Diberi kepercayaan mengendalikan program sendiri iaitu Fikirlah Sendiri Nabil yang bersiaran sejak 6 Jun lalu di saluran Prima (saluran 105, Astro), Nabil sememangnya mampu untuk pergi lebih jauh dengan bakat yang dimilikinya.
Melangkaui batas sempadan Astro, Nabil bakal bergelar pelakon apabila ‘dilamar’ oleh Prof. Madya Abdul Razak Mohaideen untuk membintangi filem terbarunya, Cifu.
Dalam Cifu, anak jati Negeri Sembilan itu akan digandingkan bersama Saiful Apek dan beberapa lagi pelakon terkenal seperti Erra Fazira dan Fouziah Gous.
“Saya akan memegang watak sebagai Tonga. Penggambaran dilakukan selama sebulan di Lenggong, Perak dan sekitar Kuala Lumpur.
“Syukur kerana saya memperoleh banyak peluang untuk mengembangkan bakat sebaik memenangi Raja Lawak musim kedua,” katanya kepada Hits baru-baru ini.
Tarikh 14 Mac lepas menjadi saat membahagiakan bagi Nabil setelah diumumkan sebagai juara Raja Lawak.
Ia sekali gus melayakkannya membawa pulang sebuah kereta Nissan Latio Sedan 1.8 Auto Premium dan juga pakej percutian serta wang tunai berjumlah RM10,000.
Dengan kemenangan itu juga, Nabil mampu mengubah kehidupannya yang dahulu bekerja sebagai penghantar surat atau mat despatch.
Menyambung bicara mengenai Cifu, Nabil yang masih solo memberitahu ia sebenarnya sebuah filem yang mengisahkan kehidupan dua lelaki yang sejak sekian lama menetap di dalam hutan.
“Lelaki itu adalah saya dan Saiful Apek. Tinggal di dalam gua dan hutan, entah bagaimana, dalam lakonan itu kami kemudiannya ‘tercampak’ ke Kuala Lumpur.
“Kerana tinggal lama di hutan, Sifu dan Tonga tidak pernah melihat kerusi, kereta, komputer, motor, tandas dan pelbagai alatan canggih yang telah tercipta pada zaman ini. Bermula dari situ, pelbagai kejadian berlaku dan ia sememangnya sebuah filem komedi yang menghiburkan. Saya suka berlakon terutama apabila bergandingan dengan Saiful Apek,’’ ujarnya yang baru sahaja pulang bercuti di Hong Kong bersama keluarga.
Menurut Nabil, sebaik tamat Cifu, dia diberitakan akan membintangi sebuah lagi filem iaitu Lu Fikirlah Sendiri The Movie.
“Melalui filem berkenaan, saya bakal memegang watak utama. Mengikut jadual, ia akan menjalani penggambaran pada bulan depan,’’ jelasnya.
Tidak memilih
atau demand
Kata Nabil, peluang yang ‘terhidang’ di depan matanya baik di bidang pengacaraan atau lakonan, membuatkan dirinya tidak mahu bersikap memilih atau bersikap demand.
“Bagi saya, kaut sahaja segala peluang yang datang. Buat apa hendak memilih atau demand itu ini. Prinsip saya cukup mudah iaitu lebih baik ada daripada tidak diberikan langsung peluang,” katanya.
Menjayakan
Konsert Fenomena
Baru-baru ini Hits berkesempatan menyaksikan rakaman program Konsert Fenomena yang berlangsung di Auditorium Perdana, Angkasapuri.
Selain Nabil, konsert yang akan ditayangkan menjelang Hari Raya Aidilfitri itu nanti menampilkan Elyana dan The Fabulous Cats.
Turut mengadakan persembahan adalah kumpulan Spider, Ash Nair serta Ultimate.
Melalui konsert berkenaan, Elyana dan The Fabulous Cats akan menyampaikan beberapa lagu hits mereka bagi memeriahkan suasana Aidilfitri.
Antara lagu-lagu yang dinyanyikan Elyana adalah Main Tarik Tali, Niat, Diriku Tapak Sulaiman, Tak Tercapai Akalmu, Syukur Ku Sedar, Bukannya Satelit dan Kalis Rindu.
The Fabulous Cats pula dengan lagu Fantastik, Bila-bila Katakan, Rimas dan Bawa Ku Terbang.
Bagi Nabil pula, penampilan pelawak tinggi lampai itu pasti akan membuatkan penonton tidak kering gusi melayan komedi spontannya.
“Saya sudah pun diberi tanggungjawab mengendalikan sebuah program lawak di saluran Astro. Dengan penampilan di RTM, ia memberi ruang untuk saya meluaskan skop bakat yang saya miliki,” ujar Nabil.
Tambahnya, selain Astro dan RTM, dia menyimpan impian untuk beraksi atau merasai bertugas di mana-mana saluran televisyen di negara ini.