CERITA rumah tangga artis bergolak yang menghiasi ruang hiburan akhbar dan majalah membuatkan Papa dan rakan-rakan lain tidak senang duduk.
Ada juga di kalangan berita berkenaan yang mengejutkan kami kerana tidak sangka perkahwinan artis-artis popular berakhir sedemikian rupa. Selepas kisah Beego dan isterinya yang dibawa ke mahkamah, kini cerita perkahwinan Nora Danish pula semakin luas diperkatakan.
Namun, sebagai manusia kita hanya mampu merancang dan Tuhan menentukan segala-galanya. Sebagai wartawan, Papa dan rakan-rakan hanya melaporkan apa saja yang berlaku. Ada ketika, kami sendiri bimbang untuk menulis perkara-perkara yang menyentuh hal peribadi kerana bimbang disalah anggap oleh masyarakat.
Apa pun, minggu ini, Papa ada beberapa gosip menarik untuk tatapan anda. Kepada anda yang ingin berkongsi cerita panas artis-artis Malaysia, ayuh e-mel kepada Papa di papagosip@utusan.com.my.
KEHIDUPAN peribadi pelakon comel, Nora Danish nampaknya terus menjadi perhatian media. Masakan tidak, rumah tangga aktres yang terkenal menerusi drama bersiri Puteri itu dengan suaminya, Rizal Ashram dilaporkan sedang bergolak.
Papa yang mendengar cerita Nora merasa sangat sedih kerana rumah tangga yang dibina atas dasar kasih dan sayang diuji dengan gelombang yang bukan kecil.
Kini, Nora khabarnya memilih untuk berdiam diri dan enggan menemui wartawan bagi menjelaskan kedudukan sebenar rumah tangganya.
Bahkan, khabar daripada beberapa rakan yang terlibat dalam industri penerbitan drama dan filem, Nora juga membuat keputusan untuk tidak aktif berlakon dalam masa terdekat ini kerana mahu menyelesaikan kemelut peribadinya.
Menurut sumber keluarga Nora pula, pelakon itu kini berendam air mata mengenangkan kesedihan yang sedang dilaluinya. Sebagai wanita, Nora tidak pernah meminta kehidupannya diuji sebegini, jauh sekali untuk melihat rumah tangga musnah kerana yang pasti, kasih dan sayang Nora pada suaminya tidak berbelah bagi.
Apa yang diberitahu kepada Papa, aktres itu mahu mencari ketenangan diri lebih-lebih lagi selepas pelbagai dakwaan tidak berasas dilaporkan menyebabkan hati Nora benar-benar terguris.
Papa faham bagaimana perasaan Nora ketika ini dan kerana itu juga dia memilih untuk tidak menjawab panggilan telefon mahupun membalas khidmat pesanan ringkas (SMS) daripada rakan-rakan wartawan.
Satu hari nanti, Papa percaya, Nora akan menemui Papa dan rakan-rakan lain untuk menjelaskan keadaan sebenarnya.
Cuma yang Papa harapkan jangan pula Nora melengah-lengahkan usaha itu kerana selagi dia tidak tampil buat penjelasan, lebih banyak cerita kurang manis akan kedengaran.